Sedikit perkongsian mengenai kaedah didalam menentukan malam Lailatul Qadr yang dikongsikan oleh Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam An-Nadwi Al-Banjari Al-Maliki diakhir pembacaan kitab Sairus Salikin pagi tadi. Berkata Syeikh حفظه الله,
"Untuk mengagak Lailatul Qadr, mengikut kepada awal puasa, bagi tahun ini, kita mula puasa pada hari Ahad, maka insyaAllah, Lailatul Qadr insyaAllah kemungkinan melalui pengalaman rohaniah yang sangat banyak oleh para ulama' mengatakan akan terjadi insyaAllah pada MALAM 27 RAMADHAN yang jatuh pada MALAM JUMAAT ini. Kerana 10 malam terakhir ini tidak ada malam yang lebih afdhal daripada malam 27 Ramadhan yang jatuh pada malam Jumaat. Mengikut pengalaman rohaniah, bila puasa mula hari Ahad, Lailatul Qadr jatuh pada malam 27 Ramadhan iaitu bertepatan dengan malam Jumaat."
Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam juga berkongsi mengenai tanda-tanda Lailatul Qadr,
"Tanda-tanda Lailatul Qadr ada tanda dalaman pada diri dan juga tanda luaran. Tanda dalaman,
1) Hati akan merasa sangat hiba pada malam tersebut
2) Air mata mudah mengalir deras lebih daripada biasa
3) Jantung berdebar lebih daripada biasa
4) Badan menggeletar lebih daripasa biasa
"Tanda luaran, :
1) Jika musim tersebut musim dingin, malam tersebut tidak terlalu dingin
2) Jika malam tersebut angin bertiup, maka angin yang bertiup tidak terlalu kencang
3) Jika malam tersebut hujan, hujan turun tidak terlalu lebat
4) Tidak kedengaran bunyi anjing menyalak pada malam tersebut
"Tanda selepas (keesokan hari nya)
1) Pagi hari matahari akan terbit muram sedikit, tidak secerah biasa, cahayanya seperti keadaan malam sedikit
Namun Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam berpesan supaya tidak hanya menumpukan ibadat hanya pada malam 27 Ramadhan walaupun mendapat kaedah melalui pengalaman rohaniah para ulama'. Berpesan Syeikh Ahmad Fahmi,
"Kita yang mengagak malam Lailatul Qadr, jangan kurang ibadah kita malam ini hingga malam Jumaat. Bila kurang, tidak akan ditunjuk ALLAH pada dia. Dia kata 'Ustaz dah bagitau malam Jumaat, saya malam ini tidoq dulu lah'. Orang
yang macam ini dia tidak akan dapat dibuka hijab oleh ALLAH. Orang yang akan dapat ialah orang yang sejak malam 21 lagi dia pulun cuma malam Jumaat nanti lebih lagi."
Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki
22 Ramadhan 1434 Hijrah
Masjid Al-Falah USJ 9
Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang menghidupkan malam dan tergolong dalam golongan yang dikurniakan bertemu dengan Lailatul Qadr.
اللهم ارزقنا ليلة القدر، امين اللهم امين
No comments:
Post a Comment